Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengumumkan tentang kebenaran pemakaian pakaian tradisional mengikut kaum dalam aktiviti kebudayaan dan kesenian membabitkan pelajar di institusi pendidikan di bawah kementerian itu.
Keputusan itu selaras dengan Surat Pekeliling Khas (SPI) Bil 3/1984: Garis Panduan Kegiatan Kebudayaan di Sekolah yang menyatakan bahawa pelajar dibenarkan memakai pakaian tradisional yang sesuai dan sopan ketika menghadiri aktiviti kebudayaan dan kesenian.
Pengumuman KPM dibuat selepas isu tular dilaporkan oleh beberapa portal berita, di mana sebuah sekolah dikritik kerana menghalang pelajar memakai pakaian tradisional semasa acara kebudayaan.

KPM berkata, pihak sekolah terbabit telah mengambil langkah proaktif dengan mengadakan perbincangan dengan wakil ibu bapa dan pelajar. Pihak sekolah juga telah membuat penambahbaikan terhadap penganjuran aktiviti yang dirancang, dan isu yang berlaku telah diselesaikan.
KPM turut menegaskan pelajar semua kaum dibenarkan memakai pakaian tradisional termasuk pakaian tradisional kaum lain. Kebenaran juga diberikan kepada pelajar untuk memakai hiasan tambahan seperti gelang, rantai, dan aksesori, mengikut kesesuaian pakaian tradisional.
KPM berkata, pihaknya sentiasa menggalakkan penglibatan pelajar dalam aktiviti kebudayaan dan kesenian yang bertujuan memupuk semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di Malaysia.
Sumber: Sinar Harian