Kerajaan bersedia untuk mengaktifkan Arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) No. 20 sebagai solusi kepada keadaan gelombang haba yang semakin teruk, termasuk kemungkinan mengisytiharkan darurat. Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyatakan kerajaan pada masa ini tidak bercadang untuk berbuat demikian.
“Darurat? Belum lagi tetapi kita sudah bersedia. Kita gunakan Arahan No. 20 MKN sebagai melaksana langkah-langkah untuk mengatasi masalah ini.
“Kita pakai arahan No. 20…kita sedang pantau 24 jam kalau ada darurat kita akan buat pengumuman. Buat masa ini belum lagi,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP) di sini, hari ini.
Berdasarkan Perkara 25 Arahan MKN No. 20, Pengisytiharan Darurat Bencana, apabila perlu, dibuat secara peraturan pentadbiran dan eksekutif oleh Perdana Menteri atas syor JPBP, tertakluk kepada undang-undang dan tatacara kerajaan yang sedang berkuatkuasa.
Apabila diisytiharkan sebagai Darurat Bencana, pengurusan bencana serta bantuan dan pemulihan kepada mangsa bencana akan dikendali dan dibiayai oleh Kerajaan Persekutuan mengikut kementerian atau jabatan berkaitan.
Gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan darurat iklim sebelum ini menggesa kerajaan mengkategorikan gelombang haba sebagai darurat bencana, bagi menangani impak akibat cuaca panas melampau untuk menjamin keselamatan rakyat dan melindungi golongan berisiko.
Kematian akibat strok haba di Kelantan baru-baru ini menjadi contoh betapa gentingnya situasi yang sedang dihadapi.