Keluarga Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat melahirkan rasa terkejut apabila pada awalnya diberitahu bekas Menteri Besar Kelantan itu bakal bergelar Tun. Bagaimanapun, surat daripada Istana Negara yang disampaikan oleh anak kedua Nik Abdul Aziz, Nik Omar, memaklumkan beliau akan dianugerahkan pingat dengan gelaran Tan Sri.
Nik Nur Humaira, cucu Allahyarham Nik Abdul Aziz, berkongsi maklumat ini di Facebook, menyebut bahawa mereka tidak boleh menolak jemputan Istana Negara.
“Memandangkan jemputan daripada Istana Negara tidak boleh ditolak maka isteri Allahyarham, Tuan Sabariah Tuan Ishak, nenda kami memenuhi undangan tersebut.
“Ahli keluarga dicanangkan lebih awal bahawa Tuan Guru akan dianugerahi gelaran Tun namun sebaliknya apabila surat istana tiba, ternyata kami dikejutkan dengan penerimaan gelaran Tan Sri sahaja.
“Ah, tidak pelik kerana yang mencanangkan ini memang dikenali sebagai Mat Retorik, sebagaimana Tun M (Dr. Mahathir Mohamad) menggelarkannya,” katanya.
Almarhum Tok Guru Nik Abdul Aziz dan bekas Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang, adalah antara 25 individu yang dianugerahkan gelaran Panglima Setia Mahkota (PSM), yang membawa kepada gelaran Tan Sri. Nik Abdul Aziz berkhidmat sebagai bekas Mursyidul Am Pas, manakala Kit Siang adalah bekas Penasihat DAP.
Nik Nur Humaira meluahkan bahawa mereka tidak memperkecilkan gelaran Tan Sri tersebut, tetapi terkejut apabila individu yang disanjungi orang ramai itu diletakkan bersama Kit Siang, yang menjadi penentang agama dan politik sejak awal hingga akhir.
“Ternyata, sama sahaja taraf seorang ulama yang bermati-matian atas nama Islam, dengan seorang berfahaman chauvinis dan tidak menerima Malaysia sebagai negara Islam di mata Malaysia Madani ini.
“Secara zahirnya, penganugerahan ini adalah perkenan daripada Yang di-Pertuan Agong. Namun, senarai penerima ini akan dicadang serta ditapis oleh Perdana Menteri terlebih dahulu.
“Bahkan, surat jemputan daripada istana tidak diberikan melalui kerajaan negeri sebaliknya dihantar melalui anak kedua Allahyarham (Nik Omar) yang memilih bertanding di atas tiket PKR di Perak,” katanya.
Beliau turut menimbulkan persoalan mengapa jemputan penting itu disampaikan oleh seseorang yang memilih untuk tidak bersama Nik Abdul Aziz dalam perjuangannya?
Namun begitu, Nik Nur Humaira menjelaskan penulisannya tidak membayangkan tentangannya terhadap PAS yang turut meraikan anugerah itu. Sebaliknya, beliau berhasrat untuk melenyapkan naratif perpecahan dalam keluarga besar Nik Abdul Aziz dan menggalakkan perpaduan.
“Masa jadi kerajaan, Pas tak beri Tan Sri pun atau (Datuk Seri) Anwar (Ibrahim) tak lupa kawan dan lain-lain reverse psikologi yang ditujukan.
“Walhal, hanya kerana seorang anak allahyarham tidak sedar dirinya menjadi bola bagi pihak lawan, bergerak ikut kaki yang menyepaknya, meraikan ayahnya yang diletakkan sebaris dengan musuh agama yang dilawan sehingga keras jiwa dan putus nyawanya.
“Ulama ini diberikan pengiktirafan hanya setelah jasad tertanam jauh di dalam bumi. Sayang sekali, ketokohan beliau diperalatkan setelah beliau tiada,” ujarnya.
Pada 2010, tiga tahun sebelum Menteri Besar negeri itu meletak jawatan selepas 23 tahun memerintah, Nik Abdul Aziz telah dianugerahkan gelaran Dato’ Bentara Setia.
Sumber: Facebook