Seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun putus tiga jari selepas tangan kirinya tersepit dalam mesin pembungkus air di restoran kambing bakar di Puncak Alam, Selangor. Kejadian berlaku pada 29 April itu berlaku ketika mangsa dan keluarganya sedang menjamu selera di premis tersebut.
Ibu kanak-kanak perempuan itu, Roziana Abd Rasif menjelaskan, kemalangan itu berlaku apabila anaknya, Nur Iman Damia Mohd Nazri, menemani adiknya yang berusia tujuh tahun meminta bantuan pekerja restoran membungkus sisa minuman.
“Tidak lama kemudian, dia datang dekat saya dalam keadaan menangis. Saya pun tolehlah tanya kenapa menangis. Sekali dia tunjuk jari dia, saya tengok dah putus,” katanya
Sejurus kejadian itu, Roziana meminta salah seorang anak lelakinya mengambil jari yang putus dan bergegas membawa anaknya yang cedera ke Hospital UiTM Al Sultan Abdullah di Puncak Alam untuk mendapatkan rawatan. Malangnya, doktor memaklumkan hanya jari tengah sahaja yang boleh disambung semula.
Roziana menganggap pekerja restoran bertanggungjawab atas kecuaian, menekankan bahawa dia sebelum ini pernah membungkus minuman di premis yang sama tanpa sebarang masalah. Dia membuat laporan polis sehari selepas kejadian, tetapi dimaklumkan bahawa kes itu tidak boleh dianggap sebagai kesalahan jenayah, kerana ia diklasifikasikan sebagai kecuaian.
“Selepas kejadian itu, saya memang ada bertanya pekerja itu kenapa suruh anak saya buat (bungkus air guna mesin). Dia cuma cakap yang dia dah suruh anak saya alihkan tangan daripada mesin itu
“Maknanya dia memang suruh anak saya buat sendiri ,” dakwanya yang juga pelanggan tetap di restoran tersebut.
Mengambil kira nasihat undang-undang, Roziana dan keluarganya berhasrat untuk menyaman restoran itu dengan alasan kecuaian sebagai punca kemalangan. Pemilik restoran itu, Tir Puryanah Mujito mendakwa, kejadian itu tidak disedari tiga daripada empat pekerja yang bertugas, dengan hanya seorang pekerja di dapur menyedarinya. Pemiliknya menyatakan ketidakpastian tentang cara kanak-kanak itu boleh pergi kepada mesin yang terletak di dapur.
“Pekerja pun tak tahu budak itu berada di dapur sebab masa itu dia tengah masak nasi goreng. Dia cakap dia cuma perasan bila tangan budak itu dah masuk mesin dan budak itu jerit,” katanya yang mengusahakan restoran tersebut sejak tahun lalu.
Susulan kejadian itu, Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) menjalankan pemeriksaan ke atas restoran berkenaan dan mengeluarkan enam kompaun atas pelbagai kesalahan termasuk pelanggaran pengendalian makanan, langkah keselamatan premis tidak mencukupi dan beroperasi tanpa lesen.
Sumber: Majoriti