Selalunya bila berlaku kes penceraian, anak-anaklah yang akan menjadi mangsa utama. Sebuah video tular yang menyayat hati telah dikongsi oleh seorang pengguna Instagram, Yuseri Yusoff, menunjukkan nasib seorang kanak-kanak perempuan berusia 9 tahun yang dipisahkan daripada ibunya, ketika mahkamah memberikan hak penjagaan kepada bapanya.
“Hari ini (25 Mei 2023, Khamis) di mahkamah. Anak perempuan berusia 9 tahun ini merupakan anak kepada pasangan orang asli yang telah berpisah. Setelah berpisah, si ibu telah memeluk agama Islam, bersama dengan anak yang dijaganya. Manakala si bapa bukan Islam.
“Isunya, semasa berada di bawah jagaan si bapa, anak ini dipaksa minum arak. Selain itu, bapanya bersekedudukan dengan perempuan dan tidak mempedulikan tentang anaknya sebelum ini.
“Ketika dijaga oleh bapanya, si anak ini diserahkan ke merata tempat dan menjadi mangsa penderaan dan buli, sebelum si ibu membawanya lari ke Terengganu,” katanya.
Menurut Yuseri, bapanya membuat permohonan untuk mendapat hak penjagaan, dengan bantuan pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan firma guaman terkemuka. Sementara si ibu, yang kekurangan sumber kewangan, terpaksa berharap kepada bantuan yang diberikan oleh Biro Bantuan Guaman.
“Tadi ya hakim enggan mendengar permohonan daripada peguam pihak ibunya dengan alasan si ibu tidak hadir sebelum ini. Selain terus mengeluarkan perintah habeas corpus di mana si ibu perlu menyerahkan anak kepada bapanya kandungnya.
“Hakim juga menolak permohonan lanjutan masa (EOT), maka anak tadi terpaksa diserahkan kepada bapanya, emmbuatkan anak itu menangis kerana tidak mahu berpisah dengan ibunya,” ujarnya.
Walau bagaimanapun, Yuseri bersama beberapa peguam akan cuba membantu si ibu dalam memfailkan rayuan, agar disatukan semula kanak-kanak itu dengan ibunya.
Sumber: Instagram