Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melaporkan guru bahasa Melayu dan Inggeris paling ramai dalam permohonan bersara awal sejak dua tahun lalu. Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, menyatakan ia diikuti guru Matematik, Pendidikan Islam, Sains, dan Sejarah dengan jumlah pegawai seramai 6,890 orang.
“Berdasarkan rekod KPM, bilangan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) yang memohon persaraan pilihan berdasarkan enam opsyen utama tertinggi adalah Bahasa Melayu iaitu 2,862, Bahasa Inggeris (1,146) dan Matematik (1,015).
“Ia diikuti guru Pendidikan Islam (755), Sains (629) dan Sejarah (483). Bagi tahun 2023, kelulusan permohonan bersara pilihan masih dalam pertimbangan pihak agensi pusat,” katanya menerusi teks jawapan lisan yang dimuat naik menerusi laman rasmi Parlimen pada Isnin.
Fadhlina memberikan maklumat ini sebagai menjawab pertanyaan Zulkifli Ismail (Jasin – PN) berhubung statistik permohonan persaraan pilihan dalam kalangan Profesional Sektor Awam (PPP) yang dikategorikan mengikut bidang kepakaran dari 2021 hingga 2023.
Sumber: Sinar Harian