Pendaki terkenal Britain, Kenton Cool, pada pendakian ke-17 Gunung Everest yang mencipta rekod peribadi baru-baru ini mendedahkan perubahan yang membimbangkan mengenai landskap Everest.
“Jika anda kembali semula pada awal pertengahan tahun 2000, kawasan itu masih dilitupi salji tebal. Kini, permukaannya berubah dari tahun ke tahun.
“Saya tidak pernah melihat kejadian runtuhan batu seperti yang berlaku di Lhotse Face, sepanjang laluan ke puncak sebelum ini,” kata Cool, 49, yang pertama kali menawan puncak itu pada 2004.
Menurutnya, keadaan itu jelas menunjukkan permukaan Everest sekarang semakin kering.
“Ia mungkin berpunca daripada kurangnya taburan hujan atau salji. Ia juga mungkin impak daripada pemanasan global dan perubahan alam sekitar,” ujarnya.
Pakar iklim sebelum ini pernah memberi amaran tentang kenaikan suhu global sebanyak 0.74 darjah Celsius sejak abad lalu, tetapi banjaran sekitar Himalaya telah mengalami pemanasan yang lebih tinggi berbanding purata global.
Nepal, yang terletak di antara dua negara pencemar paling besar di dunia, China dan juga India, telah menyaksikan lonjakan suhu purata sebanyak 0.06 darjah Celsius setiap tahun.
Sumber: Reuters