Nur Liyana Athirah Izani Sulaiman, 22, lulusan Diploma Sains dari kampus UiTM Arau Perlis, terkejut apabila mendapat tahu beliau merupakan penerima satu juta skrol universiti itu.
Universiti Teknologi MARA (UiTM) mencatat sejarah dalam Malaysia Book of Records (MBR) dengan Penganugerahan Satu Juta Skrol, di Istiadat Konvokesyen Ke-97, semalam.
Nur Liyana berkata, dia tidak menyangka akan dipilih sebagai penerima, malah berasa gementar dengan majlis konvokesyen itu.
@uitm_channel Penerima Skrol ke Satu Juta UiTM di #istiadatkonvokesyenuitm97 #konvo97 #uitmdihatiku ♬ original sound – Universiti Teknologi MARA
“Saya tidak tahu langsung akan diumumkan sebagai penerima skrol ke sejuta pada majlis hari ini. Saya cuma rasa gugup sejak mula datang ke sini pagi tadi.
“Memang ada pengacara bagi tahu tentang penerima sejuta sepanjang istiadat konvokesyen tetapi tidak sangka saya yang akan dapat,” katanya.
Lebih mengujakan apabila Nur Liyana dari Bachok, Kelantan menerima sebuah motosikal daripada Motosikal dan Enjin Nasional Sdn. Bhd. (MODENAS) bernilai RM5,397.
Selain itu, dia juga menerima hadiah cermin mata daripada La Calisto Sdn. Bhd., penginapan di Grand Swiss-Belhotel Melaka dan tiket Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) serta yuran percuma untuk mengikuti pengajian peringkat ijazah di UiTM.
Pencapaian Nur Liyana merupakan pencapaian penting bagi UiTM, yang ditubuhkan pada 1956 dengan misi membangunkan profesional Bumiputera. Universiti itu sejak itu telah menghasilkan lebih sejuta graduan, dan Nur Liyana adalah yang terbaru dalam barisan pencapaian yang panjang.
Naib Canselor UiTM, Profesor Emeritus, Tan Sri Dr Roziah Mohd Janor berkata, pencapaian Nur Liyana adalah bukti komitmen universiti terhadap kecemerlangan.
“Ini menjadikan jumlah skrol yang dikeluarkan oleh UiTM sehingga berakhirnya istiadat konvokesyen kali ini adalah sebanyak 1,003,241 skrol.
“Suatu angka yang boleh dibanggakan kerana ia mencerminkan, bahawa UiTM sudah menggerakkan misinya dengan tepat untuk menjuarai pembangunan Bumiputera profesional menerusi kurikulum terkehadapan dan penyelidikan berimpak,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, pada sidang kali ini, semua graduan menerima baucar pembelian daripada penaja, manakala penerima skrol ke 999,999; 1,000,000; 1,000,001 dan 1,000,002 akan menerima hadiah istimewa.
Katanya, beliau turut terharu dan berbesar hati kerana berpeluang meraikan penganugerahan skrol yang ke sejuta pada istiadat konvokesyen kali ini.
“Majlis konvokesyen yang pertama Dewan Latehan RIDA diadakan pada tahun 1964 dengan 50 graduan yang dianugerahkan sijil atau skrol oleh Tun Abdul Razak ketika itu, tradisi penganugerahan diteruskan sehingga saat ini.
“Sehubungan dengan itu, majlis ini adalah simbolik bahawa ITM dan UiTM berjaya menyempurnakan misi penubuhannya dengan tepat untuk menjuarai pembangunan Bumiputera profesional menerusi kurikulum terkehadapan dan penyelidikan berimpak.
“Ia boleh dianggap sebagai hadiah sempena menyambut hari ulang tahun UiTM yang ke-24 pada 26 Ogos ini. Semoga pencapaian ini menjadi pembakar semangat kepada semua warga UiTM untuk menjadikan UiTM sebagai sebuah universiti yang dikenali dunia,” katanya.
Sumber: Utusan Malaysia