Bekas Perdana Menteri, Najib Razak, menandakan tahun pertamanya di penjara pada hari Rabu dengan puisi tentang kesunyian dan kepercayaan.
Pada tarikh hari ini (23 Ogos) pada tahun lalu, sejarah negara merekodkan Datuk Seri Najib Razak menjadi Perdana Menteri pertama yang dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun.
Puisi yang dimuat naik di laman Facebooknya itu menggambarkan rutin harian bekas PM yang berusia 70 tahun itu di balik jeruji besi, termasuk berdoa, membaca al-Quran dan menunggu matahari pagi.
“365 hari telah berlalu pergi di sebalik tirai besi, beralaskan dinginnya lantai simen.
“Tikar sejadah menjadi teman sujud, mengerjakan solat lima waktu, merayu belas kasihan-Nya meringankan ujian beban, mendoakan ketenangan, kebebasan derita.
“Di subuh, menanti sinar mentari pagi, menembusi jendela tirai besi. Di waktu senja bertukar malam, hening dan sunyi. Mengalunkan al-Quran, berzikir dengan hati.
“Keseorangan, walaupun tahu Allah sentiasa ada. Tidak akan pernah meninggalkan hamba-Nya,” katanya.
Ketika ini, Najib masih berdepan tiga lagi kes mahkamah termasuk penyelewengan RM2.3 bilion dana 1MDB yang kini di peringkat perbicaraan dengan pendakwaan telah memanggil saksi ke-46, bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz, 76.
Sementara, dua lagi kes ialah pecah amanah jenayah berjumlah RM6.6 bilion berhubung pembayaran kepada International Petroleum Investment Company (IPIC) dan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International sebanyak RM27 juta, yang masing-masing masih di peringkat pengurusan kes.
Sumber: Facebook