Mahu merahsiakan kehamilan selepas melakukan hubungan seksual menjadi motif pembunuhan seorang wanita di Jalan Sungai Limau, di sini, semalam.
Kejadian disedari orang awam yang ternampak asap di tepi kebun berhampiran dengan kadang lembu kira-kira jam 7 pagi, sebelum menemui mayat tanpa identiti, yang sudah terbakar 60 peratus itu.
Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Agus Salim Mohd Alias, berkata, polis menahan seorang lelaki disyaki terbabit dalam kejadian itu di Sungai Besar.
“Bertindak atas maklumat yang diperoleh, polis menahan suspek di sebuah rumah keluarganya pada jam 1.45 petang Selasa di Sungai Besar.
Berdasarkan keterangan suspek yang baru menamatkan pengajian di sebuah institusi pengajian tinggi, dia dan mangsa menjalinkan hubungan sejak setahun yang lalu.
“Suspek mengenali mangsa sejak setahun lalu dipercayai naik berang apabila teman wanitanya enggan memenuhi permintaannya untuk merahsiakan kehamilan dipercayai hasil hubungan luar nikah tersebut,” katanya pada sidang akhbar di Dewan Iltizam Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam di sini pada Rabu.
“Lelaki itu kemudian bertindak kejam apabila menoreh perut mangsa yang hamil sebelum membakar mayat wanita berkenaan,” jelas beliau.
Agus Salim berkata, suspek yang membakar mayat mangsa kemudiannya pulang ke rumah dan datang semula ke tempat kejadian keesokan harinya.
“Suspek yang berasa tidak sedap hati kemudian datang semula ke tempat kejadian dengan motosikalnya kira-kira jam 7 pagi dan sekali lagi bertindak membakar mayat mangsa menggunakan minyak petrol,” kata beliau.
Segala bahan bukti termasuk barangan milik mangsa juga telah dibuang di sekitar Jalan Lama, Kuala Selangor. Keputusan ujian saringan air kencing terhadap suspek adalah negatif, malah suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan dipercayai melakukan jenayah itu seorang diri.
Suspek akan direman selama enam hari sehingga 29 Mei ini untuk siasatan lanjut, Kes disiasat mengikut seksyen 302 kanun keseksaan (Akta 574) dan jika sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati.