Polis mengesahkan menerima laporan tentang sebuah kejadian yang menjadi tular di media sosial, berhubung seorang pegawai polis wanita menyebabkan gangguan di tempat letak kereta sebuah pusat beli-belah di Brickfields.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor, menyatakan bahawa kertas siasatan telah dibuka mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955.
Tindakan tatatertib dan pemeriksaan kesihatan mental terhadap pegawai itu sedang dijalankan.
Siasatan dijalankan mengikut laporan yang difailkan seorang wanita berusia 27 tahun yang terlibat dalam kejadian itu. Pegawai itu dirakam membuat kata-kata menghina mengenai pakaian pengadu yang disifatkan sebagai provokasi.
“Berdasarkan laporan, pengadu mendakwa kejadian berlaku pada 5.26 petang kelmarin ketika dia sekeluarga meletakkan kenderaan di lokasi itu.
“Hasil siasatan mendapati berlaku selisih faham apabila OYDS (orang yang disyaki) ingin meletakkan kenderaan di sebelah kenderaan pengadu tetapi pintu pemandu dan penumpang belakang kenderaan pengadu terbuka.
“Pengadu menyatakan neneknya sedang menukar lampin pakai buang anak saudara ketika itu. OYDS tidak puas hati menekan hon dan menjerit memarahi pengadu serta ahli keluarga,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, pertikaian itu akhirnya dapat diselesaikan dengan campur tangan pasangan suami isteri yang menyaksikan kejadian itu, dan pengadu terus memasuki pusat beli-belah tersebut.
Amihizam menegaskan kes itu masih disiasat dan menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat andaian spekulatif berhubung video tular itu.
Sumber: Harian Metro