Berjaya Land melalui unit perniagaan rel Berjaya Rail, sedang giat meneroka peluang dalam sektor kereta api, khususnya projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) antara Kuala Lumpur dengan Singapura.
Menurut kenyataan Berjaya Land, syarikat itu akan mengambil bahagian dalam proses permintaan maklumat yang dimulakan oleh MyHSR Corp, sebuah syarikat di bawah Kementerian Kewangan. Jika dipilih, Berjaya Land akan menyumbang kepada pembekalan, pemasangan dan penyelesaian teknikal untuk projek pembangunan kereta api tersebut.
Selain Berjaya Land, beberapa syarikat swasta telah menunjukkan minat untuk menghidupkan semula projek HSR ini. Penyelidikan sedang dijalankan, termasuk mengumpul maklum balas, dan menilai pelarasan yang diperlukan kepada model projek dan kapasiti pembiayaan.
Projek HSR sepanjang 350 kilometer itu bertujuan mengurangkan masa perjalanan antara Kuala Lumpur dan Singapura, ia berpotensi memendekkan perjalanan kepada hanya 90 minit sahaja. Walaupun projek itu telah dimulakan pada Disember 2016, ia menghadapi kelewatan beberapa kali dan kemudiannya ditamatkan.
Sumber: Bernama