Seorang bakal pengantin lelaki berasa kecewa dan tertipu selepas bakal pengantin perempuannya gagal hadir pada hari pernikahan mereka.
“Hari yang sepatutnya menjadi hari yang paling bahagia untuk aku tetapi jadi mimpi ngeri,” luahnya dalam perkongsian pada Isnin malam dan kini tular.
Lelaki yang berasal dari Kuching, Sarawak itu berkata, dia pernah bertemu wanita itu secara dalam talian pada 2021 dan mereka bertunang pada Oktober tahun lalu. Mereka sepatutnya bernikah pada 10 dan 11 November 2023 di rumah pengantin perempuan di Matu, Mukah.
Bagaimanapun, apabila pengantin lelaki dan keluarganya tiba di Matu pada petang Khamis, mereka terkejut apabila mendapati bakal pengantin perempuan tidak menempah sebarang bilik untuk mereka di homestay tersebut. Apabila mereka cuba menghubunginya, dia langsung tidak menjawab.
“Aku pun telefon bakal pengantin perempuan berkali-kali tapi tiada respons. Disebabkan dah terlalu penat sangat, nak tak nak terpaksa juga bayar guna duit sendiri untuk homestay termasuk perbelanjaan lain yang sepatutnya diuruskan pihak pengantin perempuan.
“Waktu ni aku dah rasa lain macam dah, macam ada yang tak kena, sebab dia cakap semua dah diuruskan tapi aku cuba berfikir positif lagi dan berehat serta persiapkan apa yang patut untuk majlis kami keesokan hari,” ujarnya yang menetap di Kuching.
Pada hari pernikahan, pengantin lelaki dan keluarganya pergi ke rumah pengantin perempuan tetapi mendapati tiada tanda-tanda ada upacara akan diadakan. Apabila mereka bercakap dengan ibu saudara pengantin perempuan, mereka terkejut apabila mengetahui bahawa bakal pengantin perempuan telah pun berkahwin dan mempunyai dua orang anak.
“Sampai je kat situ dah rasa pelik sebab macam tak ada apa-apa sambutan, kosong! Persiapan majlis langsung tak ada. Aku cuba telefon bakal pengantin perempuan dan bapa dia, dua-dua tak dapat telefon.
“Alamat betul, tapi rumah tak ada orang. Memang dah agak ada sesuatu yang tak kena. Kami putuskan untuk pergi ke rumah jiran sebelah dan rupanya tuan rumah sebelah tu adalah ibu saudara si pengantin perempuan.
“Kami beritahu tujuan datang dan tanya pasal pengantin perempuan. Kami bertambah geram dan terkejut apabila diberitahu nama sebenar dia lain. Lagi parah perempuan tu sudah berkahwin dan ada dua anak,” katanya.
Pengantin lelaki berkata, dia percaya bapa kepada bakal pengantin perempuan itu turut terlibat dalam penipuan itu. Katanya, bapanya mengetahui anak perempuannya itu sudah pun berkahwin, namun dia membenarkan pengantin lelaki meneruskan persiapan pertunangan dan perkahwinan.
“Ayah dia pun tak jujur dari awal. Kenapa seorang ayah sanggup biarkan anak dia bertunang dengan aku sedangkan dia sendiri tahu anak dia tu bini orang? Memang tak terkata, kecewa, marah, sedih semua ada, tak mampu dah aku nak cakap apa masa tu.
“Dengan kos kerugian persiapan perkahwinan lagi. Duit hantaran dah diberi juga, maruah keluarga aku lagi, mana nak letak? Kami datang dari jauh dan rasa tertipu,” katanya.
Pengantin lelaki dan keluarganya telah membuat laporan polis berhubung penipuan itu. Mereka juga kerugian kira-kira RM30,000 termasuk kos persiapan perkahwinan dan wang hantaran RM8,000 yang dihadiahkan pengantin lelaki kepada bakal pengantin perempuan.
“Dia cakap dah uruskan semua sebab nak akad nikah kat sebelah pihak perempuan. Persiapan pun dah dibuat untuk majlis katanya.
“Aku dah bagi semua dokumen berkaitan kat dia dan aku anggap semua dah selesai masa tu, tinggal nak kahwin je. Jadi, aku beranggapan dia dah buat,” katanya.
Kisah pengantin lelaki tular di media sosial dan ramai yang meluahkan rasa simpati terhadapnya dan keluarganya. Mereka juga telah mengecam tindakan bakal pengantin perempuan dan bapanya.
“Kau dah malukan aku dengan keluargaku. Kau tu kerja badan beruniform, tapi kenapa perangai kau tak macam baju yang kau pakai tu? Kau dah mencemar dan merosakkan imej jabatan.
“Kami sekeluarga pun dia berani tipu apa lagi dalam jabatan. Harap ada tindakan yang tegas diambil ke atas anggota ini,” katanya lagi.
Sumber: Facebook