Go Shop, saluran beli-belah di Malaysia akan menutup operasinya pada 11 Oktober 2023. Keputusan itu dibuat oleh syarikat induknya, Astro Malaysia Holdings Bhd (AMH), selepas mempertimbangkan landskap ekonomi yang mencabar dan perubahan dalam tingkah laku beli-belah pengguna.
Dalam satu kenyataan, AMH berkata penutupan Go Shop adalah sebahagian daripada strategi penjajaran semulanya, yang termasuk pelaksanaan langkah penjimatan kos utama.
“Penurunan dalam perniagaan beli-belah dari rumah adalah ketara sejak pandemik dan penutupannya akan memastikan sumber ditumpu terhadap perniagaan-perniagaan yang mampu menyumbang perbezaan terbesar kepada keseluruhan operasi,” menurut kenyataan itu lagi.
AMH juga berkata bahawa Go Shop bukanlah anak syarikat material dan penutupannya dijangka tidak akan memberi kesan ke atas pendapatan keseluruhan atau aset bersihnya.
Go Shop ialah usaha sama antara AMH dan GS Retail Co Ltd (GSR) Korea. AMH memegang 60% kepentingan dalam syarikat itu, manakala GSR memegang baki 40%.
AMH mengucapkan terima kasih kepada semua pelanggan dan rakan kongsi Go Shop atas sokongan mereka selama ini. Ia juga berterima kasih kepada pasukan Go Shop atas semangat dan dedikasi mereka terhadap jenama itu.
Sumber: Astro Awani