“Alhamdulillah, dah mati pun ayah mak aku.”
Demikian reaksi segelintir anak tanggang yang melahirkan rasa lega selepas dimaklumkan mengenai berita kematian ibu bapa mereka yang ditempatkan di pusat jagaan di Kempas, Johor.
Pengurus Pusat Jagaan Warga Emas Nur Ehsan, Norijah Bidin berkata, segelintir saudara mara penghuni juga gagal tampil menguruskan jenazah ibu bapa mereka dengan memberikan pelbagai alasan tidak munasabah.
“Malah selepas pengebumian, ahli keluarga akan tampil menuntut kad pesara, kad pengenalan, sijil kematian dan dokumen berkaitan,” katanya.
Dalam satu kes, seorang anak kepada penghuni yang biasanya tampil untuk mendapatkan wang saku daripada bapanya juga bertindak lepas tangan selepas menerima berita kematian bapanya.
“Dia yang memiliki kereta Aplhard pernah datang ke sini sebulan sekali untuk mendapatkan wang saku RM200 daripada bapanya dan apabila kami maklumkan bapanya tiada, dia berasa lega dan melahirkan rasa syukur.
“Akibat keluarganya tidak menunjukkan minat untuk mengendalikan urusan terakhir bapanya, kami menanggung segala-galanya,” kata Norijah.
Beliau berkata pada masa ini hanya 30 peratus waris bertanggungjawab membayar yuran bulanan untuk penjagaan yang diberikan, dan mereka menggunakannya untuk pembayaran gaji pekerja.
“Segelintir waris mahu berputus asa dengan merujuk ibu bapa mereka kepada agensi berkaitan untuk mendapatkan bantuan bulanan bagi menampung yuran walaupun mereka sebenarnya mampu,” katanya.
Norijah berkata, dia berharap waris semua penduduk lebih bertanggungjawab terhadap kebajikan ibu bapa mereka.
“Kita ada perancangan untuk memberi dan mengubah suai bangunan lama di Denai 2 untuk keselesaan penduduk, ia dijangka menelan belanja sebanyak RM1.5 juta.
“Kami kekurangan dana dan menubuhkan tabung bagi tujuan mengutip derma dan berharap bangunan lama itu berwajah baharu,” katanya.
Orang ramai boleh menyumbang kepada Pusat Jagaan Nur Ehsan di akaun Maybank 551137548840.
Sumber: Berita Harian