Seramai enam individu cedera, termasuk tiga lagi kritikal akibat dirempuh sebuah kereta. Kejadian tersebut berlaku pada pukul 8.25 pagi, dan melibatkan sembilan buah kenderaan.
Menurut Ketua Polis Daerah Kubang Pasu Superintendan Rodzi Abu Hassan, kesemua kenderaan terbabit berhenti di tepi jalan untuk membeli nasi lemak dari gerai berhampiran, sebelum kemalangan itu berlaku.
“Seramai sembilan mangsa terbabit dalam kemalangan ini dan tiga daripadanya termasuk pasangan suami isteri yang peniaga nasi lemak di gerai itu cedera parah dan kritikal.
“Tiga mangsa ang kritikal dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar untuk rawatan lanjut, manakala mangsa lain dihantar ke Hospital Jitra,” katanya memetik laporan daripada Harian Metro.
Siasatan awal mendapati pemandu kereta Proton Satria berusia 20 tahun itu dikatakan terbabas sebelum melanggar sebuah kenderaan di tepi jalan sebelum bertembung dengan orang ramai yang beratur membeli nasi lemak.
Siasatan juga mendapati pemandu yang berasal dari Jitra itu telah memandu tanpa lesen, serta cukai jalan dan insurans kereta untuk kenderaan itu telah tamat tempoh.