Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah melaporkan peningkatan mendadak dalam kes buli sekolah, dengan 4,994 kes direkodkan dari bulan Januari hingga Oktober 2023. Ini meningkat daripada jumlah kes 3,887 sahaja yang direkodkan pada keseluruhan tahun 2022.
Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying berkata, semua kes telah disiasat dan disusuli, dengan fokus kepada kaunseling dan bimbingan. Bagaimanapun, beliau mengakui bahawa buli adalah fenomena sosial yang kompleks, dan memerlukan penglibatan semua pihak berkepentingan, termasuk ibu bapa, NGO, dan masyarakat setempat.
“Tujuan kami untuk memastikan kes buli dapat dikurangkan dan pembuli dan mangsa buli dapat diberikan bimbingan sewajarnya,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Menjawab soalan Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik, Hui Ying berkata, KPM bercadang menambah bilangan guru kaunseling sekiranya jenayah buli meningkat di semua sekolah. Ini bagi memastikan kementerian dapat mengenal pasti punca kejadian buli dan mengambil langkah mencegahnya daripada terus merebak.

“Ya, sekiranya kes buli ini semakin meningkat, kita (KPM) akan menambah bilangan guru bimbingan kaunseling kerana kaunselor ini akan mengambil tindakan terhadap kes ini (buli).
“Ia supaya mereka (pembuli) dapat diberi kesedaran sepatutnya serta kita tahu kenapa kejadian buli itu berlaku dan mengapa mereka melakukan buli. Kaunseling adalah mustahak,” katanya lagi.
KPM juga telah menyediakan portal aduan buli yang membolehkan warga sekolah termasuk pelajar, ibu bapa dan orang ramai membuat aduan terus kepada kementerian. Sebarang maklumat yang diterima akan dilindungi oleh pihak kementerian.
Portal aduan buli juga boleh diakses melalui empat saluran lain: Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) KPM, e-mel, talian telefon dan aplikasi WhatsApp.
Sumber: Berita Harian