Sebuah Tesla Model Y terbakar di Puchong, pada malam semalam, yang dipercayai merupakan insiden pertama seumpamanya di negara ini.
Punca kejadian masih dalam siasatan, namun video tersebut telah tular di platform media sosial, menunjukkan kereta itu sedang terbakar.
Menurut laporan sumber Astro Awani, pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 8.32 malam dan telah menghantar tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Puchong ke lokasi kejadian.
Tesla Model Y terbakar, lokasi difahamkan di Puchong Jaya.
Punca kebakaran tak dapat dikenalpasti. pic.twitter.com/SpG4dMJCQ4
— Hafiz Rahim (@hafizmdrahim) October 16, 2023
“Setibanya di lokasi, bomba mendapati ia melibatkan sebuah kereta jenis Tesla yang terbakar sebanyak 70 peratus dan tidak melibatkan mangsa.
“Tindakan anggota dengan menggunakan satu aliran salur bantu mula air dari pam air tangki jentera api berjaya memadamkan kebakaran sepenuhnya.
“Kebakaran bagaimanapun berjaya dipadamkan bomba sepenuhnya dan diserahkan kepada pihak forensik untuk tindakan lanjut.
“Difahamkan, pemilik kenderaan itu parkir seketika untuk pergi makan,” kata Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar.
Menurut saksi, api bermula dari fender hadapan kiri kereta berkenaan, dan berjaya dipadamkan oleh pihak bomba sejurus ketibaan mereka. Tiada kecederaan dilaporkan. Tesla belum lagi mengulas mengenai kejadian itu, tetapi syarikat itu mempunyai rekod keselamatan yang baik.
Kajian 2021 oleh Persatuan Perlindungan Kebakaran Kebangsaan mendapati bahawa kenderaan elektrik kurang berkemungkinan terbakar berbanding kenderaan berkuasa petrol.
Walau bagaimanapun, apabila kenderaan elektrik terbakar, ia boleh menjadi lebih sukar untuk dipadamkan kerana voltan tinggi bateri. Itulah sebabnya penting untuk menghubungi bomba dengan segera jika anda melihat kenderaan elektrik terbakar.
Sumber: Astro Awani