UTU KPDNHEP AZMAN011 preview
in

Sebarang kontrak bagi tujuan sambung bayar kenderaan adalah tidak sah – KPDN

Sebarang kontrak yang ditandatangani bagi tujuan sambung bayar kenderaan adalah tidak sah.

Ketua Pengarah Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Azman Adam berkata, di bawah perjanjian sewa beli yang dimeterai antara pemunya dengan penyewa, terdapat satu syarat di mana penyewa tidak boleh menjual kenderaan tersebut tanpa kebenaran pemunya dan ia merupakan suatu kesalahan di bawah Akta Sewa Beli 1967 iaitu memfraud pemunya.

Bagaimanapun, katanya, penyerahan hak-hak di bawah perjanjian sewa beli adalah dibenarkan di bawah Seksyen 12 Akta Sewa Beli 1967 dengan kebenaran pemunya.

“Sekiranya penyewa berniat untuk menyerahkan haknya ke atas kenderaan di bawah perjanjian sewa beli, penyewa terbabit hendaklah merujuk dan memaklumkan niatnya kepada pihak pemunya bagi mendapatkan kebenaran serta kelulusan pemunya.

“Seterusnya jika pemunya bersetuju, perjanjian sewa beli di atas nama penyewa tidak akan ditamatkan tetapi dokumen ‘assignment’ disediakan oleh bank untuk ditandatangani oleh penyewa asal, bank dan penyambung bayar dengan mengekalkan hak serta liabiliti penyewa asal sepanjang tempoh assignment berkuat kuasa dengan syarat penyambung bayar tiada dalam senarai hitam institusi kewangan,” katanya.

Beliau berkata, istilah ‘sambung bayar’ disifatkan sebagai penyerahan hak milik kenderaan dan kepentingan penyewa kepada mana-mana orang tanpa kebenaran serta kelulusan pemunya (institusi kewangan) di dalam satu perjanjian sewa beli yang masih berkuat kuasa.

Menurut Azman, pada kebiasaannya aktiviti sambung bayar ini berlaku di luar pengetahuan pemunya (institusi kewangan) di mana penyewa akan membuat rundingan secara terus bersama pihak penyambung bayar akan niatnya untuk ‘menjual’ kenderaan yang masih tertakluk di bawah suatu perjanjian sewa beli.

“Penyambung bayar pula hanya perlu menyediakan bayaran pendahuluan yang kecil dan menyambung bayaran ansuran bulanan kepada pemunya bagi pihak penyewa.

“Kebiasaannya, persetujuan antara penyewa dengan pihak penyambung bayar akan dimeterai melalui suatu kontrak bertulis atau berjabat tangan sahaja,” ujarnya.

Tambahnya, antara sebab berlakunya aktiviti sambung bayar adalah penyewa tidak mampu untuk membayar ansuran bulanan, penyambung bayar dalam senarai hitam institusi kewangan, penyambung bayar tidak perlu menyediakan wang pendahuluan yang banyak selain proses pembelian kenderaan yang mudah.

Dalam pada itu, beliau berkata, antara kesan pembelian kereta sambung bayar ialah menyukarkan institusi kewangan untuk mengesan kenderaan jika pihak penyambung bayar gagal membayar ansuran bulanan kenderaan.

“Ini juga berkemungkinan mengakibatkan berlaku penipuan sekiranya pihak penyambung bayar gagal membuat bayaran ansuran kepada institusi kewangan seperti yang telah dipersetujui dan boleh menyebabkan nama penyewa disenarai hitamkan,” katanya.

Azman berkata, kesan lain antaranya menerima saman di atas kesalahan-kesalahan yang tidak dilakukan dan boleh disabitkan dengan aktiviti jenayah yang dilakukan oleh pihak penyambung bayar.

Sumber: Sinar Harian

Screenshot 508

Pergaduhan di tempat penyokong Perak – Selangor menghangatkan suasana perlawanan

Aryan Khan Shah Rukh Khan1684563289 0

Shah Rukh Khan dituduh beri rasuah 13 juta untuk lepaskan kes dadah anaknya