Lebuhraya Setiawangsa Pantai (SPE), yang bakal dibuka kepada semua pengguna, akan menawarkan tol percuma selama 30 hari bermula malam ini, 2 November 2023, hingga 2 Disember 2023.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, mengumumkan tol percuma itu sempena pembukaan lebuh raya itu, yang akan memberi pengguna akses ke laluan baharu dan mudah.
“Orang ramai yang menggunakan lebuh raya dari Plaza Tol Chan Sow Lin, Plaza Tol Ampang, Lebuh Raya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH) dan Plaza Tol Setiawangsa (arah Selatan dan Utara) akan mendapat tol percuma selama 30 hari,” katanya.
Selain menyediakan pilihan pengangkutan baharu, SPE juga menggabungkan elemen kemampanan selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 2030. Projek pembinaan lebuh raya itu telah dianugerahkan Anugerah Pencapaian Cemerlang untuk ‘Infrastar Mampan’ oleh CIDB semasa Hari Penganugerahan Safety & Health, Environment and Quality atau SHEQ 2022.
“Pembinaan Lebuh Raya SPE telah mengambil kira faktor alam sekitar dengan mengamalkan teknologi hijau dalam pembinaannya apabila solar panel telah dipasang di setiap plaza tol.
“Malah, penghadang bunyi telah dipasang bagi mengelakkan gangguan bunyi daripada kenderaan kepada penduduk sekeliling,” jelasnya.
SPE ialah projek berimpak tinggi yang dijangka mewujudkan peluang pekerjaan, menjana limpahan perniagaan, dan merangsang serta menyediakan banyak lagi aktiviti ekonomi yang berdaya maju.
Sumber: Facebook