Menteri Pengangkutan, Anthony Loke menjelaskan bahawa tiada sesiapa yang dipenjarakan kerana melanggar peraturan kaca gelap sejak peraturan baharu itu diwartakan pada 2019.
Penjelasan Loke dibuat selepas kenyataan yang dikeluarkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menimbulkan kekeliruan dalam kalangan pengguna media sosial, yang percaya individu yang melanggar peraturan boleh dihukum penjara.
“Itu sebenarnya tak betul. Memang dari segi undang-undang, sekiranya mana-mana pihak yang tidak mengikuti peraturan jalan raya, apabila mereka diberikan peluang untuk kompaun, mereka tidak bayar kompuan, maka mereka boleh dibawa ke mahkamah.
“Itu adalah general (biasa) untuk semua peraturan, bukan dari segi penggunaan cermin gelap sahaja. Tetapi pada hakikatnya apa yang dilaksanakan adalah kompaun.
“Saya harap penjelasan ini dapat meleraikan atau memberikan satu penerangan kepada orang ramai bahawa tidaklah sampai kerajaan nak memenjarakan orang sekiranya menggunakan cermin gelap,” katanya.
Loke menjelaskan bahawa pemilik kenderaan yang melanggar peraturan kaca gelap akan dikenakan kompaun terlebih dahulu. Denda kompaun boleh sehingga RM2,000, tetapi tiada sesiapa yang dipenjarakan atas kesalahan tersebut setakat ini.
Peraturan cermin gelap baharu diperkenalkan pada 2019 untuk meningkatkan keselamatan jalan raya dan mengurangkan risiko kemalangan. Peraturan-peraturan tersebut menetapkan bahawa Visible Light Transmittance (VLT) untuk cermin kenderaan mestilah sekurang-kurangnya 70% untuk cermin depan, 50% untuk tingkap sisi pemandu dan penumpang, dan 0% untuk cermin depan dan tingkap sisi belakang.
Loke berkata, kerajaan memahami bahawa orang ramai mungkin mahu menggunakan kaca berwarna untuk melindungi diri daripada cuaca panas di Malaysia. Bagaimanapun, beliau menggesa pemilik kenderaan supaya mematuhi peraturan baharu itu bagi memastikan keselamatan semua pengguna jalan raya.
Sumber: MalayMail